Laporan Akhir

Tajuk: Menyokong sekolah kebangsaan dan budaya kebangsaan.


PENDAHULUAN


Sejak sebelum merdeka, hasrat penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) telah diilhamkan oleh para pemimpin negara sebagai wahana untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum. SK diharap dapat dijadikan tempat untuk generasi muda hidup bermasyarakat, saling bekerjasama antara satu sama lain serta melahirkan rakyat yang setia dan menyumbang kepada kesejahteraan negara seperti yang dinyatakan dalam Ordinan Pelajaran 1952. Seterusnya, pendidikan sebagai wahana untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 dan menjadi cabaran negara dalam usaha untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.

Dalam PIPP ini, SK merujuk kepada sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah harian yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekolah-sekolah ini ditubuhkan sebagai sekolah aliran perdana bagi memupuk perpaduan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi supaya SK menjadi sekolah pilihan utama masyarakat. Sehingga kini, masih terdapat SK yang mempunyai prasarana kurang memuaskan, terutama di kawasan pedalaman. Selain itu, terdapat anggapan masyarakat bahawa pencapaian akademik di SK adalah lebih rendah berbanding sekolah rendah aliran Cina. Masyarakat bukan Bumiputera mempunyai tanggapan bahawa SK juga terlalu bercirikan Islam manakala masyarakat Islam pula menyatakan sebaliknya.

Sehubungan itu, KPM telah pun memperkenalkan Dasar Memperkasakan SK supaya SK kekal sebagai sekolah pilihan utama masyarakat Malaysia. Walaupun dasar ini memberi keutamaan kepada SK, namun KPM sentiasa memberi perhatian yang seimbang untuk Sekolah Rendah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) supaya pendidikan untuk anak bangsa Malaysia yang belajar di sekolah tersebut tidak dipinggirkan.

Dalam PIPP, tumpuan memperkasakan SK akan diberikan kepada sekolah rendah kerana sekolah ini mempunyai peranan penting sebagai tapak untuk menyemai dan memupuk perpaduan di antara kaum daripada peringkat awal persekolahan. Dasar memperkasakan SK diwujudkan bagi memastikan semua sekolah rendah yang berbahasa pengantar Bahasa Melayu dan sekolah menengah kebangsaan menjadi sekolah pilihan utama masyarakat Malaysia. Matlamat dasar ini adalah untuk meningkatkan dan memperkukuh perpaduan di kalangan pelajar pelbagai kaum. Justeru, pelajar-pelajar ini dapat dilatih hidup saling bekerjasama dan mempunyai semangat patriotisme serta toleransi yang tinggi selaras dengan aspirasi nasional. Fokus memperkasakan SK pada peringkat sekolah rendah dan menengah adalah untuk menjadikan sekolah-sekolah ini lebih beraspirasi nasional, meningkatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan meningkatkan kualiti prasarana. Sasaran jangka panjang KPM adalah untuk menjadikan SK pusat kecemerlangan pendidikan daripada semua segi seperti prasarana, disiplin dan keselamatan pelajar, pencapaian kokurikulum dan sukan, penguasaan ICT, kualiti guru dan kepimpinan sekolah. Satu penanda aras akan ditetapkan bagi memastikan agenda memperkasakan SK akan terus berada pada landasan yang betul dan usaha akan dilaksanakan bagi mengenal pasti SK yang cemerlang untuk dijadikan model kepada SK lain.. SK yang telah diperkasa akan diterajui oleh Pengetua/Guru Besar yang mempunyai ciri ciri kepimpinan berkesan, mempunyai kumpulan guru terdiri daripada pelbagai kaum yang cekap, terlatih, komited bagi menjamin budaya sekolah yang sihat dan kondusif serta dapat mengeratkan hubungan dan penglibatan masyarakat, ibu bapa dan warga sekolah.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan pula merupakan satu garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti Malaysia di peringkat antarabangsa. Dasar Kebudayaan Kebangsaan turut mengambil latar belakang sejarah dan kedudukan negara ini sebagai pusat tamadun, serta pertemuan dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampu. Unsur kebudayaan mestilah dapat diterima oleh semua komuniti.

Budaya penting sebagai alat kemajuan atau pembangunan bangsa dan negara. Proses pembangunan negara yang pesat sekarang pasti akan membawa kepada perubahan kepada sistem nilai, perlakuan dan institusi masyarakat Malaysia. Perubahan tanpa mengambil kira soal kesinambungan dan perubahan dalam kehidupan budaya dan masyarakat Melayu akan menimbulkan masalah kesenjangan budaya atau cultural gap, atau masalah residual behaviour atau dysfunctional social habit yang berpanjangan. Masalah ini boleh muncul kerana perkembangan perindustrian dan persejagatan yang berlaku kini telah, dan akan mempercepatkan proses perubahan ekonomi, institusi dan struktur yang lebih pesat berbanding dengan darjah perubahan yang berlaku pada sikap, nilai, norma dan pola perlakuan dalam masyarakat Malaysia.

Apa juga asal usulnya mestilah menggambarkan ciri yang mudah dikenali sebagai sebahagian dari keadaan tempatan. Ia mestilah tidak boleh membawa kesan yang buruk dalam apa jua cara terhadap nilai asas yang menjadi pendukung kepada unsur lain. Berdasarkan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, pada tahun 1971, tiga prinsip telah dijadikan asas kearah pembentukan kebudayaan kebangsaan iaitu mestilah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini, unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar juga boleh diterima dan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Peristiwa rusuhan kaum pada bulan Oktober 1945 dan 13 Mei 1969 memberi pengajaran yang cukup berguna bahawa pentingnya perpaduan antara kaum bagi menjamin keharmonian yang sedia ada. Sejak awal kemerdekaan lagi tolak ansur telah wujud di antara kaum dengan adanya kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum dan termaktub dalam perlembagaan negara. Bagi menjamin kelangsungan perpaduan nasional, kerajaan telah merangka pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadi garis panduan dalam usaha membentuk satu bangsa yang bersatu dan mempunyai identiti negara, serta dapat mencirikan keperibadian bangsa Malaysia yang unik dan unggul. Sesungguhnya, dasar- dasar kerajaan yang bukan bersifat ekonomi inilah yang berjaya menseimbangkan dasar-dasar kerajaan lain dalam memastikan pembangunan negara dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.

Oleh yang demikian, pemikiran semula tentang budaya Melayu dan budaya rakyat Malaysia yang lain harus dilakukan. Persoalan asas dalam penilaian semula budaya masyarakat perlu ditumpukan kepada teknologi, nilai, kepercayaan dan norma. Hasil penilaian semula budaya masyarakat itu kemudiannya perlu dirumuskan melalui dua bentuk strategi kebudayaan iaitu strategi kuantitatif dan strategi kualitatif. Kedua-dua strategi ini akan mengemukakan suatu peta kognitif kepada bangsa Malaysia. Peta ini akan menjelaskan siapa kita dan apakah destinasi kita. Dengan adanya peta tersebut, maka akan tercipta suatu proses keobjektifan unsur-unsur budaya yang sebelum ini hanya berada di peringkat normatif-subjektif.


STATISTIK

Berikut merupakan data-data tentang peratusan penduduk di Malaysia mengikut kaum, peratusan penduduk di Malaysia mengikut agama serta bilangan sekolah mengikut peringkat, jenis dan negeri. Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kaum Melayu merupakan kaum yang mendominasi kependudukan di negara Malaysia.









BILANGAN SEKOLAH MENGIKUT KUMPULAN JENIS DAN NEGERI  







BILANGAN SEKOLAH MENGIKUT PERINGKAT SEPERTI PADA 31 JULAI 2016

PERINGKAT
BILANGAN SEKOLAH
RENDAH
7772
MENENGAH
2408
JUMLAH
10180


























ISU SEMASA


SEKOLAH KEBANGSAAN

Isu semasa yang dapat dikaitkan dengan tajuk projek kami iaitu ‘Menyokong sekolah kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan’ antaranya ialah yang dipetik daripada akhbar Sinar Harian Online iaitu berkenaan isu Sekolah Kebangsaan (SK) itu Islamik atau tidak Islamik. Sekolah Kebangsaan (SK) merupakan sekolah yang disediakan untuk semua kaum yang mana pelajar akan menggunakan bahasa penghantar dan kurikulum yang sama, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.‎ Menegaskan bahawa tidak timbul isu bahawa sesebuah SK itu Islamik atau tidak Islamik, Mahdzir, berkata SK adalah tempat untuk memupuk perpaduan kaum dan tempat generasi muda hidup bermasyarakat, saling bekerjasama antara satu sama lain."Murid dari semua latar belakang serta kaum memperoleh akses pembelajaran seperti yang telah disediakan oleh kerajaan termasuk pembelajaran bahasa ibunda seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil di SK," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca kabinet di kementeriannya di sini hari ini.Ia merupakan sistem yang dilaksanakan berlandaskan dasar-dasar yang telah ditetapkan  seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, katanya lagi. Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal semalam yang mendakwa beliau mengatakan 'Kami Tak Akan Biarkan Sekolah Kebangsaan Jadi Terlalu Islamik.'

Mengenai isu doa yang diamalkan di SK yang turut dibangkitkan dalam laporan portal berkenaan, beliau berkata doa itu tidak menjadi isu kerana ia  bertujuan memperoleh kesejahteraan kepada semua pelajar dan guru-guru termasuk mereka yang bukan Islam. Kata Mahdzir, doa sedemikian turut diamalkan di pejabat-pejabat selain majlis keramaian yang dianjurkan oleh orang perseorangan dan institusi-institusi dan merupakan ikhtiar manusia untuk melindungi daripada sebarang anasir yang boleh menjejaskan kesejahteraan umum.

Beliau berkata Akta Pendidikan 1996 membenarkan penubuhan sekolah-sekolah pelbagai aliran seperti SK, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah mubaligh.Ibu bapa diberikan kelonggaran untuk memilih mana-mana aliran pendidikan yang ditawarkan di bawah Kementerian Pendidikan seperti aliran agama, vernakular dan SK, katanya. – Bernama


BUDAYA KEBANGSAAN

Selain itu, isu semasa yang dapat dikaitkan dengan tajuk projek kami iaitu ‘Menyokong sekolah kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan’ antaranya ialah yang dipetik daripada Portal Islam dan Melayu iaitu berkenaan isu mempersendakan agama-agama yang dianuti oleh rakyat Malaysia. Penyanyi rap, Namewee, yang sebelum ini mempersendakan lagu Kebangsaan, Negaraku, sekali lagi menunjukkan kebiadapan dan mencetuskan kontroversi apabila menghasilkan muzik video ‘Oh My God’ yang dianggap menghina pelbagai agama, termasuk Islam.

            Klip muzik video empat minit yang diarah dan dihasilkan dengan penampilan khas pemuzik Taiwan yang dikenali sebagai Nine-One-One itu dimulai dengan laungan azan, koir gereja, pukulan gong meditasi Buddha dan loceng kuil Hindu. Video klip tersebut dibuat di tempat-tempat ibadat di Pulau Pinang. Dia yang sebelum ini juga menimbulkan kontroversi apabila menyuruh orang Melayu tinggal di hutan, turut menggunakan istilah seperti Allah, Namo Amitabha, Hellelujah dan Om Mani Padme Hum, ketika menyanyi rap dalam klip video itu.

Klip video yang telah dimuat naik di YouTube awal Ahad, telah mempunyai 40,799 views setakat ini. Klip video memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral dan telah menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia dipercayai menghina Islam. Terdapat juga empat lelaki dalam video itu berpakaian seperti Jesus, abad kelima Buddha sami Xuan Zang, seorang imam Tao dan seorang lelaki memakai jubah putih dan serban.

Dalam klip itu, Namewee dalam video yang berasingan yang dipanggil “Tokok” katanya sedar bahawa ia mungkin akan diharamkan di Malaysia, tetapi terus memuat turun di internet dengan niat untuk menggalakkan keharmonian agama. Perkara yang paling sukar dari semua adalah bahawa, video ini mungkin akan diharamkan di Malaysia. Anda akan memahami selepas anda menonton video muzik. Kami hanya mahu menggalakkan keharmonian dalam semua agama. Banyak negara mempunyai isu-isu agama yang mana beberapa negara yang mempunyai konflik yang berterusan tanpa perdamaian, Kami menggabungkan empat agama utama, perjalanan dan mempunyai masa yang hebat bersama-sama, ia adalah satu gambar yang jarang berlaku,” katanya.



SOLUSI


SEKOLAH KEBANGSAAN

Pertama, peranan dasar kerajaan. Kerajaan memainkan peranan utama dalam membentuk lanskap masyarakat Malaysia, terutama selepas merdeka. Melalui dasar-dasar dan strategik yang dilaksanakan. Dasar-dasar awam merupakan alat yang digunakan untuk memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar dalam membangunkan negara dan masyarakat. Dasar awam boleh didefinisikan, antaranya, sebagai apa sahaja pemilihan kerajaan, sama ada untuk membuat sesuatu atau tidak membuat sesuatu (Jan-Erik Lane, 2000). Contohnya, Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menampakkan keberkesanan pelaksanaan dasar yang dirangka (dalam Syed OthmanAlhabhi & Hasnan Hakim, 2010). Setiap dasar yang dirangka perlu mengikut kehendak dan keperluan masyarakat supaya tidak timbul sebarang masalah. Contohnya, sistem persekolahan satu aliran dan Pengajaran Pendidikan Sainsdan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menjadi penanda aras bahawa dasar yang dilaksanakan memerlukan penambahbaikan segera.

Melalui dasar pendidikan, kerajaan boleh memainkan peranan dengan:
(1) Semua sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bergabung mengadakan dan menganjurkan program bersama yang melibatkan penyertaan semua murid-murid dan guru;
(2) Pengisian pelajaran di sekolah kebangsaan,sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil diselaraskan semula dengan menggunakan isi kandungan yang sama dengan menambah bahasa Mandarin dan Tamil sebagai mata pelajaran wajib;
(3) Satu sistem persekolahan boleh dijalankan melalui penggabungan elemen-elemen termasuk kebudayaan,pemakanan, dan adat resam yang terdapat dalam sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil;
(4) Pengisian kurikulum dan ko-kurikulum perlu seiring dengan keperluan masyarakat kini yang menekankan nilai-nilai jati diri, mempunyai sifat patriotisme, bertoleransi yang harus diperkasakan lagi, dan memerlukan nilai tambah; serta
(5) Menjadikan gagasan 1Malaysia sebagai tambahan wajib dalam mata pelajaran di semua jenis sekolah yang menjadi peneraju pembinaan bangsa kerana pendidikan merupakan cabang utama penggerak kepada tercapainya gagasan 1Malaysia.

Kedua, sistem penyampaian. Pihak kerajaan adalah pihak pemerintah yang berkuasa penuh untuk membuat keputusan kerana telah mendapat mandat daripada rakyat. Kerajaan seharusnya menggunakan segala keperluan dan kebebasan yang ada untuk menjadi pihak penyampai yang efisyen. Sistem penyampaian merupakan alat yang sangat penting yang berperanan sebagai pemberi maklumat yang tepat dan berinformasi. Masalah yang perlu diambil serius ialah mengenai cara penyampaian oleh pihak pemerintah kepada rakyat.Biasanya, sistem penyampaian ini ialah melalui media-media dan juga agensi-agensi kerajaan, contohnya Kementerian Penerangan dan Komunikasi.Dalam menyampaikan informasi mengenai pendidikan, tidak semua masyarakat tahu mengenai perubahan yang dilakukan terhadap dasar, dan mereka juga sering terpengaruh dengan berita-berita yang salah. Keadaan ini menyebabkan masyarakat akan memandang serong terhadap kerajaan,walaupun sebenarnya kerajaan telah menjalankan tanggungjawab dengan baik. Zaman kini merupakan zaman yang terbuka dari segala segi, termasuk sumber maklumat.

Sistem penyampaian sistematik dan berkesan boleh dilakukan melalui:
(1) Menggunakan sepenuhnya peranan media, sama ada cetak mahupun elektronik, sebagai medium utama dengan menayangkan iklan-iklan TV bertemakan perpaduan dengan lebih kerap lagi dan ruang papan kenyataan yang mempromosikan keunikan masyarakat Malaysia;
 (2) Melakukan promosi-promosi dengan lebih kerap lagi dengan membuka pusat sehenti di merata tempat, terutama memberi fokus kepada masyarakat luar bandar berkenaan dengan dasar-dasar kerajaan yang terkini supaya rakyat memahami perkara sebenar;
(3) Menjadikan sekolah sebagai pusat sumber maklumat bagi segala dasar-dasar dan program-program yang dijalankan oleh kerajaan.


BUDAYA KEBANGSAAN

Perbezaan dan kepelbagaian sosiobudaya sukar untuk dinafikan dalam sebuah Negara seperti Malaysia yang lahir dari kelompok masyarakat yang berbilang etnik iaitu Melayu, Cina, dan India yang menjadi majoriti terbesar serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak serta orang asli dan kaum – kaum lain menjadi kaum minoriti. Setiap etnik membawa sosio-budaya yang berbeza yang diwarisi dari nenek - moyang yang terdahulu.

Bagi mencapai objektif Dasar Kebudayaan Kebangsaan, strategi memenuhi keperluan sosiobudaya telah disentuh, dimana keperluan ini dipenuhi melalui berberapa aspek antaranya ialah aspek agama, disini kita lihat dimana Malaysia terdiri dari penduduknya yang berbagai keturunan dan menganuti berbagai agama, khususnya agama Islam, Buddha, Hindu, Tao dan Nasrani atau atau Kristian, di samping lain-lain sistem kepercayaan yang diamalkan oleh berbagai kumpulan etnik yang terdapat di negara ini. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi di Malaysia, sementara agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan bebas. Dari aspek bahasa pula, walaupun bahasa rasmi yang digunakan di negara ini ialah Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu tetapi bahasa-bahasa berbagai kaum dan suku kaum yang lain adalah bebas digunakan seperti bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua dan digunakan dengan meluasnya di bidang-bidang perdagangan dan perindustrian. Kerajaan juga telah menggalakkan pekerja hotel dan ahli-ahli perniagaan yang berkaitan dengan sektor pelancongan dan perhotelan supaya mempelajari lain-lain bahasa antarabangsa.

Usaha yang berterusan untuk membangun nilai budaya yang positif dan mewujudkan satu Bangsa Malaysia adalah penting untuk mengekalkan perpaduan negara dan keharmonian dalam mencapai matlamat pembangunan terutamanya dalam suasana kepelbagaian etnik di Malaysia. Sehubungan ini, beberapa kempen budi bahasa dan integriti ke arah memperkukuh nilai sosial dan sikap akan diberi penekanan. Kempen dan program lain yang berkaitan akan memberi tumpuan kepada perlunya rakyat Malaysia mengamalkan sikap bertolak ansur, hormat-menghormati dan nilai positif lain yang perlu untuk mengekal perpaduan negara, keharmonian sosial dan kemuafakatan.

Seterusnya bagi aspek perayaan pula kita melihat disini adalah penduduk Malaysia yang berbilang kaum menyambut pelbagai perayaan sepanjang tahun. Di negara ini, musim perayaan adalah masa untuk bergembira dan menjalin persahabatan serta muhibah antara kaum. Setiap kali perayaan, semua rakyat tanpa mengira keturunan, turut serta memeriahkan suasana dengan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Oleh itu, upacara 'rumah terbuka' adalah satu suasana yang tidak asing lagi di hari-hari perayaan. Contohnya disini bagi yang menganut agama Islam mereka akan menyambut perayaan iaitu Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Maulidur Rasul. Walaupun Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia ini tidak bermakna agama lain tidak boleh menyambut perayaan mereka, maka dengan itu sosiobudaya mereka dipenuhi dengan membenarkan mereka meraikan perayaan mereka tanpa menyentuh sensitiviti agama lain. Maka dengan itu kaum cina dapat merayakan Tahun Baru Cina pada hari pertama di dalam bulan pertama kalendar Cina pada bulan Januari atau Februari setiap tahun bagi penganut agama Hindu pula,mereka akan meraikan  Deepavali atau perayaan Cahaya pada bulan Aippasi mengikut kalendar keturunan Tamil Oktober dan November. Bagi agama kristian mereka akan meraikan perayaan Krismas pada setiap 25 Disember.

Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia juga boleh dilakukan melalui media massa dan media cetak mengenai kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia, contohnya disini ialah apabila media massa membuat kempen mengenai kebudayaan dan menunjukkan keharmonian negara yang mempunyai pelbagai budaya, bangsa dan agama dapat hidup bersama dan penuh dengan harmoni, malah ia menyemai semangat menghormati budaya bangsa lain.


Kesemua ini menunjukkan bahawa keperluan sosiobudaya setiap kaum dipenuhi dan dihormati, malah dengan adanya pelbagai kumpulan etnik di negara Malaysia ia telah mewarnai kebudayaan di negara ini dengan lebih harmoni dan sejahtera.


PANDANGAN ISLAM TERHADAP DASAR SEKOLAH KEBANGSAAN DAN DASAR BUDAYA KEBANGSAAN

Sebagaimana yang diketahui, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya. Oleh yang demikian, salah satu langkah kerajaan untuk mengekalkan perpaduan negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya ini adalah dengan mewujudkan dasar sekolah kebangsaan dan dasar kebudayaan kebangsaan. Walaupun kedua-dua dasar ini memiliki cara pelaksanaan yang berbeza tetapi mempunyai objektif dan matlamat yang sama iaitu untuk mengekalkan kemakmuran negara dan perpaduan kaum.

Dalam Islam, umat Islam diwajibkan menghormati penganut agama lain. Ini adalah ajaran Al Quran seperti mana dalam surah, Al-An’aam ayat 108, Allah berfirman:

“Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Berdasarkan ayat di atas, jelas sekali bahawa Islam menolak prinsip yang tidak bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat. Allah SWT menciptakan umat manusia bagi menghuni seluruh permukaan bumi dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama serta etnik agar mereka dapat saling kenal-berkenalan antara satu sama lain.

Firman Allah bermaksud:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".

Surah al.Hujurat (ayat :13)

Oleh yang demikian , konsep toleransi yang telah diajaarkan Allah ini adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi keharmonian yang sudah wujud dalam kalangan masyarakat. Ayat berkenaan menjelaskan bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat yang bukan  beragama Islam. Jadi, dasar sekolah kebangsaan dan dasar budaya kebangsaan yang bertujuan untuk mengeratkan perpaduan antara kaum ini adalah sangat dituntut dalam Islam. Jika umat Islam mencemuh atau mengejek masyarakat berlainan agama akan mendorong mereka membalas penghinaan tersebut dan hal ini Allah SWT tidak membenarkannya, inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam.

Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam , model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah S.A.W. boleh dijadikan contoh bagaimana baginda menyatu padukan masyarakat Madinah yang terdiri daripada berbilang bangsa,agama dan budaya. Sebagaimana pada awal-awal hijrah, orang-orang Islam merupakan golongan minoriti berbanding berbanding dengan penganut kristian dan yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu.Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah pula dengan keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu , maka tertegak akhirnya sebuah negara yang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad S.A.W Oleh itu, apa yang dapat dikaitkan oleh pendapat Islam mengenai dasar kebudayaan kebangsaan dan dasar sekolah kebangsaan adalah usaha ini adalah wajib bagi sesebuah negara  untuk menjadikan negara tersebut hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

Antara dasar di dalam piagam Madinah mengenai kepelbagaian agama di negara tersebut adalah masyarakat Madinah bebas untuk menganuti apa sahaja agama dan setiap individu perlulah menghormati agama yang dianuti oleh individu yang lain. Nabi Muhammad s.a.w juga tidak pernah memaksa masyarakat Madinah untuk mereka menerima Islam dan sikap buruk sangka mengenai agama orang lain seperti yang telah dipraktikkan sebelum itu adalah dilarang sama sekali. Mana-mana budaya yang bersesuaian dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam juga turut boleh dipraktikkan di Madinah. Hal ini membuktikan bahawa betapa luasnya pandangan Nabi Muhammad s.a.w yang telah mengambil kira kepentingan pelbagai kaum,bangsa, dan agama di Madinah dalam membentuk Piagam Madinah yang adil tanpa mengira bangsa dan juga agama mereka.

Dalam konteks sosial pula masyarakat Madinah dikira sebagai satu ummah yang bersatu padu, saling bekerjasama dan tolong menolong antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama. Ke semua bangsa mempunyai hak yang sama di Madinah dan mereka perlu mematuhi peraturan dan cara hidup yang menjadi panduan masyarakat. Sikap saling benci membenci dan iri hati perlulah dielakkan demi menjaga keharmonian negara. Kandungan ini membuktikan bahawa baginda menerapkan nilai kerjasama dan tolong menolong antara mereka demi menjaga kesejahteraan dan perpaduan negara.Cara Nabi Muhammad s.a.w membangunkan kerajaan Madinah adalah berbeza dengan cara pemimipin-pemimpin yang lain. Baginda memerintah kerajaan Madinah dengan adil tanpa menindas mana-mana kaum. Oleh yang demikian, persefahaman dan perpaduan kaum dapat dikekalkan.


Oleh itu, mengenai persoalan pendapat islam tentang dasar kebudayaan kebangsaan dan dasar sekolah kebangsaan di Malaysia adalah usaha ini sangat dipandang mulia di dalam islam dan sememangnya perlu diwujudkan di Malaysia memandangkan negara ini terdiri daripada berbilang bangsa dan kaum. Apatah lagi agama Islam merupakan agama rasmi Malaysia. Jadi, agama Islam menjadi tunjang kepada dasar kebudayaan kebangsaan dan dasar sekolah kebangsaan di Malaysia. Amalan dan kebudayaan daripada agama lain juga boleh diamalkan selagi mana ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan Malaysia.


KESIMPULAN


Sudah 44 tahun berlalu sejak Malaysia mengadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1971. Persoalannya, adakah Dasar Kebudayaan Kebangsaan sudah berjaya dilaksanakan atau masih relevan dalam konteks globalisasi dan perubahan landskap sosiobudaya dan politik pada hari ini dan masa depan?
Seperti Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-75), digubal sebagai ekoran tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Semua dasar yang berkaitan dengan ekonomi, pendidikan, bahasa, dan budaya selepas itu menjadikan perpaduan dan kesepaduan sosial sebagai tunjang supaya akhirnya akan lahir bangsa Malaysia yang memiliki jati diri. Ternyata bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan strategi dan pendekatan jangka panjang untuk memastikan rakyat negara ini mempunyai jati diri dan rasa cinta terhadap kebudayaan nasional.
Ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, pada 16 Oktober 1971, Perdana Menteri mengakui bahawa bentuk dan corak kebudayaan sesuatu bangsa hanya dapat dipastikan setelah menempuh proses timbang terima masyarakatnya serta menempuh ujian masa yang sesetengah unsur itu diterapkan menjadi bentuk kebudayaan yang kekal, sementara yang lain ditolak dan ditinggalkan. Bagi Tun Abdul Razak Hussein, dalam kehidupan bermasyarakat, tetap akan berlaku proses evolusi atau penyerapan nilai baharu yang berpunca daripada pertumbuhan dari dalam atau melalui hubungan penemuan dari luar yang memberikan ketegasan dan kekuatan kepada sesuatu masyarakat.
Usaha yang dilakukan melalui kongres itu, diakui oleh Perdana Menteri ketika itu, sebagai “meneroka jalan ke arah matlamat yang hanya dapat dilihat hasilnya beberapa generasi yang akan datang.” Rumusan atau dasar dari atas ke bawah yang bersifat takrif autoriti itu diterima dan diguna pakai oleh kerajaan, badan bukan kerajaan, budayawan dan ilmuwan, serta masyarakat umum selepas kongres itu.
Sejak itu, para pemimpin dan budaya selalu merujuk Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai antara dasar penting yang menyumbang ke arah kelahiran sebuah negara bangsa. Integrasi budaya juga penting sama seperti pentingnya integrasi politik, wilayah, ekonomi, politik dan pendidikan. Soal identiti sebagai sesuatu bangsa yang berbudaya dan bertamadun sendiri, berteraskan Islam, dianggap penting untuk mencanaikan jati diri bangsa Malaysia yang majoritinya Islam dan Melayu serta bumiputera meskipun etnik bukan Melayu menyifatkannya sebagai usaha asimilasi dan percubaan untuk menghakis budaya etnik lain. Kementerian terbabit menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam kerangka dasar budaya yang difahami mengikut takrif autoriti, iaitu dasar formal dari atas ke bawah.
 Dengan itu, diharapkan agar dasar berkenaan dapat dicambah dan disebarluaskan kepada pelbagai peringkat masyarakat, tidak kira di kota atau desa. Media massa, terutama televisyen yang begitu popular terutama dari dekad 1970-an hingga pertengahan 1990-an, membantu kerajaan melaksanakan dasar yang berkaitan dengan budaya. Namun demikian, mulai dekad 1990-an, oleh sebab keghairahan untuk mencapai kemajuan dan pembangunan dari segi pelajaran, prasarana, ekonomi dan pendidikan, soal kebudayaan semakin dipinggirkan, malah tidak terdapat percubaan yang bermakna dilakukan oleh kerajaan untuk meneruskan dasar tersebut secara agresif.
Pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan bukanlah mudah, bukan sahaja kerana konsepnya yang abstrak, tetapi juga kerana kewujudan pelbagai golongan, terutama kaum bukan Melayu yang meragui dan mempertikaikannya. Secara khusus, pelbagai kumpulan dan pertubuhan menentang dasar tersebut yang mempunyai agenda untuk menegakkan budaya dan bahasa etnik berkenaan. Mereka enggan berkorban dan berkompromi. Bukan sahaja soal seni dan budaya yang membabitkan tarian dipertikaikan, tetapi juga yang membabitkan bahasa. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila gelombang globalisasi semakin hebat. Politik bahasa dan budaya kadangkala begitu hangat sehingga menimbulkan konflik tajam.
Dalam tempoh beberapa abad itu, kerajaan turut memperlihatkan perubahan dari segi kerangka pemikirannya apabila aspek budaya digandingkan dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada dekad 1980-an, sebelum mengalami perubahan lagi pada dekad seterusnya. Skop liputan budaya tidak lagi sekadar terbatas pada kegiatan budaya dan seni atau belia dan sukan, tetapi diperluas kepada pelancongan kerana pelancongan bagai tidak dapat dipisahkan daripada budaya. Budaya dijual melalui kegiatan pelancongan dan kerap kali yang ditonjolkan ialah budaya yang serasi dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Budaya Malaysia mula didedahkan kepada khalayak yang lebih luas melalui kegiatan pelancongan, termasuk dengan mempersembahkan kebudayaan kebangsaan di pentas antarabangsa. Syarikat Penerbangan Malaysia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, misalnya, pernah mengadakan persembahan budaya di pelbagai kota dunia, termasuk di Australia, Jepun, United Kingdom, Perancis dan Amerika Syarikat.
Dari satu segi, kehadiran pelbagai perkampungan budaya atau Malaysia mini di beberapa buah negeri membantu usaha memantapkan pemahaman kebudayaan kebangsaan, selain menonjolkan budaya unik etnik terbabit. Keterbukaan sikap kerajaan diserlahkan apabila perayaan utama suku kaum, termasuk Gawai Dayak, Pesta Kaamatan, dan Thaipusam, turut disambut pada peringkat nasional, dengan mengadakan rumah terbuka.
 Kegiatan rumah terbuka dilakukan oleh kerajaan persekutuan dan negeri, serta syarikat korporat. Melalui usaha sedemikian, bukan sahaja interaksi pelbagai etnik dimungkinkan, tetapi rumah terbuka berkenaan membolehkan etnik lain lebih memahami budaya etnik yang meraikannya dan pendekatan sedemikian tentu memberikan kesan positif terhadap kesepaduan dan perpaduan sosial. Secara tidak langsung, budaya tertentu etnik terbabit menyerap dalam kebudayaan kebangsaan melalui acara rasmi sedemikian, sekali gus bagai mengabsahkan penerimaannya.
 Namun begitu, terdapat juga kesan positif dan negatif terhadap budaya di dalam masyarakat, iaitu ;

Kesan Positif Budaya Dalam Masyarakat

Antara kesan positif budaya dalam masyarakat yang dapat kita lihat adalah perpaduan yang terjalin antara masyarakat. Bak kata pepatah Melayu mengatakan ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’. Ini kerana, apabila berlakunya sesuatu upacara seperti perkahwinan, orang ramai ataupun penduduk setempat akan bergotong royang beramai-ramai menjayakan majlis itu.
 Tanpa budaya, sesuatu kaum tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan mungkin akan kehilangan identiti kaum itu sendiri. Oleh itu, budaya dapat dilihat sebagai ‘medium’ untuk mengekalkan identiti sesuatu kaum. Budaya juga dapat mengekalkan tradisi yang sudah lama dilakukan oleh nenek moyang kita sejak berzaman agar tidak ditelan zaman seperti pepatah ‘tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas’.
 Semua orang memerlukan perubahan didalam hidup tidak terkecuali budaya itu sendiri. Budaya berubah sejajar mengikut kepesatan pembangunan teknologi. Perubahan ini termasuklah apabila sesuatu budaya bergabung dengan budaya yang lain membentuk budaya yang baru tetapi masih mengekalkan identitinya. Perubahan ini memberi kebaikan kepada budaya itu sendiri dimana terdapat pelbagai ilmu baru yang dapat dipelajari asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang suci.
Dengan adanya budaya, sifat hormat-menghormati dapat ditanamkan didalam jiwa masyarakat sekali gus mengurangkan masalah sosial yang terdapat didalam masyarakat. Ini adalah penting kerana di Malaysia, terdapat banyak kaum dan masing-masing mempunyai budaya yang lain. Dengan adanya sifat hormat-menghormati, masyarakat dapat hidup dalam harmoni tanpa sebarang masalah yang dapat mengugat keutuhan kesepakatan yang adal di Malaysia.

Kesan Negatif Budaya Dalam Masyarakat

Terdapat juga kesan negatif budaya didalam masyarakat yang dapat kita kupas diantaranyanya ialah wujudnya sifat perkauman yang kuat diantara kaum masing-masing yang ada di Malaysia. Sifat ini memberi kesan yang buruk kepada sesuatu kaum kerana ianya boleh mengundang masalah besar seperti pergaduhan antara kaum yang pernah terjadi seperti kejadian hitam yang menimpa negara, peristiwa 13 Mei 1969 dimana kaum Melayu dan kaum Cina saling berbunuhan antara satu sama lain.
 Sebarang penyalahgunaan didalam budaya itu juga dapat mengudang kesan negatif kepada masyarakat seperti amalan khurafat yang digunakan didalam budaya yang ternyata sekali amat salah disisi agama. Contoh amalan khurafat yang dimasukkan didalam budaya adalah seperti amalan kepercayaan ajaran nenek moyang yang bergantung harap kepada kuasa roh sekali gus membolehkan seseorang itu terjerumus ke lembah syirik.
 Terdapat sesetengah budaya yang masih diamalkan walaupun amalan budaya itu tidak terdapat didalam garis panduan ajaran Islam. Apa yang dapat dilihat disini adalah bagaimana segolongan masyarakat lebih mementingkan budaya daripada agama sendiri seperti upacara merenjis pengatin dihari persandingan. Di Malaysia, amalan itu sudah menjadi kewajipan apabila terdapat upacara perkahwinan berlansung.
 Terdapat budaya yang masih relevan yang boleh diamalkan akan tetapi terdapat sesetengah budaya yang tidak relevan untuk diamalkan seperti lenggang perut. Ini kerana budaya itu tidak relevan untuk digunakan memandangkan kita mempunyai teknologi agar keadaan wanita yang hamil dan kandunganya dalam keadaan sihat justeru dapat mengelak kejadian syirik dengan jampi serapah yang digunakan oleh bidan.

Objektifnya Dasar Kebudayaan Kebangsaan ditubuhkan pula adalah untuk:

v  Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;
v  Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan.
v  Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.

Melalui penelitian kami, DKK masih releven dilaksanakan sehingga ke hari ini dan seterusnya. Hujah ini adalah atas kerana:


·                     Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan mampu menyatukan rakyat Malaysia melalui kebudayaan dan merupakan teras keharmonian kaum yang memandu kita ke arah perpaduan dan kesepakatan.
·                     Dasar ini amat perlu bagi Malaysia yang sedang pesat membangun dan menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti negara dalam kalangan dunia antarabangsa.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan dapat membentuk masyarakat yang toleransi, kesepaduan, semangat nasionalisme,mengamalkan nilai-nilai atau norma yang sama dalam sebuah bumbung negara yang berasaskan masyarakat pluralistik.
 Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah Negara yang merdeka dan bermaruah.
 Pelaksanaannya sukar dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat namun, kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini.
 Secara kesimpulannya, penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah begitu penting dilakukan bagi sesebuah negara membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini akan dapat menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia.





No comments:

Post a Comment